▴ Magical Life ▴

Little Thing

Hyee ! Thanks for visiting my blog , dude! I hope you're enjoying my blogs , dude :). Bye , i'm gotta go !



Trimas

Template by Lil' Syuu Ketot. Basecode by Aina Syaza . Full edit: LovelySyuu. Use some tutorial from her.
.
Marah Itu Mudah Sabar Itu Indah



أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Sekiranya kita diuji dengan fitnah daripada orang yang iri hati diatas kejayaan kita , diuji dengan kemiskinan, diuji dengan keretakan rumah tangga hingga berlaku perceraian sebagai suami-isteri, diuji dengan penyakit dan mendapat kemalangan, diuji dengan kematian insan yang dikasihi atau diuji dengan kerugiaan dalam perniagaan maka bersabarlah ini semuanya ada hikmah yang baik untuk diri kita sendiri sedangkan kita tidak mengetahui hikmah Allah berikan ujian tersebut . Ianya mungkin kafarah atau penghapusan dosa-dosa kita yang pernah kita lakukan kepada Allah SWT atau ianya sebagai satu cara Allah SWT ingin meningkatkan iman dan takwa kita kepada-Nya dan Dia mengasihi kita supaya dapat memasuki syurga-Nya nanti kerana salah satu jalan seseorang dimasukkan kedalam syurga kerana adanya kerana sifat sabar semasa di dunia.

Terdapat sepuluh kebaikan-kebaikan yang akan Allah SWT kurniakan pada hamba-hamba-Nya yang sabar. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Di ampunkan dosa untuknya.

Dalam hadis qudsi berkata Syaddad bin Aus r.a. bahwasanya Nabi SAW. bersabda maksudnya : “Allah telah berfirman:  'Sekiranya Aku uji salah seorang hamba-Ku yang mukmin, lalu ia memuji-Ku seraya bersabar atas (penderitaan) apa yang Aku mengujinya. Maka ia akan bangun dari tempat pembaringannya, bagaikan anak yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih dari dosa. Lantas Tuhan akan memerintahkan malaikat Pencatat Amal: Sesungguhnya Aku telah menahan hamba-Ku ini dan Aku telah mengujinya, maka kini catatkanlah baginya apa yang kamu selalu catatkan sebelum itu dari pahala-pahala amalannya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: "Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslirn)

Kedua : Allah SWT merasa malu kepadanya semasa di neraca timbangan dan membuka buku catatannya diakhirat.

Berkata Anas ra. bahawasanya Nabi SAW  bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman:
'Jika Aku menimpakan suatu mushibah ke atas salah seorang hamba-Ku pada badannya, atau hartanya, atau anaknya, lalu dia menerima mushibah itu dengan penuh kesabaran, nescaya di hari kiamat Aku malu akan menegakkan baginya neraca timbangan atau membuka buku catatan amalnya.” (Hadis riwayat Qudha’i, Dailami, Hakim dan Tirmidzi) - hadis qudsi.

Ketiga : Allah SWT ingin mendengar sendiri ucapan hamba yang diuji-Nya .
(mukmin tersebut sentiasa memuji-muji kebesaran Allah SWT dengan dia bersabar dan tidak mengeluh)

Berkata Abu Umamah ra. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya : ”Allah telah berfirman: 'Wahai malaikat-ku. Pergilah kepada hamba-Ku, dan timpakan ke atasnya bala'. Maka para malaikat pun menimpakan bala ke atasnya dan orang itu memuji Allah. Para malaikat lalu kembali mengatakan, 'Wahai Tuhan kami ! Kami telah menimpakan atasnya sebagaimana yang Engkau perintahkan'. Berfirman Tuhan: 'Kembali semula kepadanya, Aku ingin mendengar apa katanya'.” (Hadis riwayat Thabarani) - hadis qudsi.

Keempat : Di bebaskan daripada seksaan api neraka.

Dari Abu Hurairah ra. bahawasanya ia bersama dengan Rasulullah SAW menjenguk orang yang sakit kerana demam, lalu Rasulullah SAW. bersabda maksuanya : “Bergembiralah, kerana Allah telah berfirman:  'Itu adalah api-Ku, yang Aku kuasakan terhadap hamba-Ku yang mukmin di dunia agar menduduki (sebagai pengganti) bagian apinya di akhirat'.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah) - hadis qudsi.

Kelima : Di berikan kesihatan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Dari Abu Hurayrah r.a., bahwasanya Rasulullah SAW. bersabda maksudnya : “Berfirman Allah Ta’ala: 'Apabila Aku menimpakan bala ke atas hamba-Ku yang mukmin, lalu ia bersabar (atas penderitaan itu), tiada ia mengadu atau mengeluh kepada pengunjung-pengunjungnya, nescaya akan Aku lepaskan dia dari tahanan-Ku (penderitaan itu), kemudian Aku tukarkan dagingnya dengan daging yang lebih baik, dan darahnya dengan darah yang lebih baik, sehingga ia dapat bekerja semula (yakni: setelah semua dosa dan kesalahan yang lalu Allah ampunkan semuanya)'.”
(Hadis riwayat Hakim)

Keenam : Di berikan ganjaran pahala tanpa batas.

Firman Allah SWT  maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (tanpa batas) " (Surah az-Zumar ayat 10).

Dalam sebuah hadis lain Rasulullah SAW. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah SWT dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat."

Ketujuh : Mendapat selawat dan rahmat daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya : "Dan berilah khabar gembira kepadaorang-orang yang sabar; (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.' Mereka itu ialah orang-orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk-Nya."
(Surah al-Baqarah, ayat 155-157).

Kelapan : Mendapat balasan syurga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW  bersabda didalam Hadis Qudsi: Allah SWT berfirman yang maksudnya :"Tidak ada balasan kecuali syurga bagi hambaku yang beriman yang telah Aku ambil kembali kekasihnya (Aku mematikan seseorang yang disayanginya seperti anak, adik-beradik dan sesiapa sahaja yang di sayangi oleh seseorang) dari kalangan penghuni dunia dan dia hanya mengharapkan pahala daripadaKu (dengan bersabar). "
(Hadis riwayat Bukhari).

Kesembilan : Jaminan mendapat pertolongan Allah SWT.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Ya (cukup), jika kamu semua bersabar dan bertakwa. Dan (seandainya) mereka menyerang kamu semua seketika itu juga, nescaya Allah akan menolong kalian dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda." (Surah Ali-Imran ayat 125).

Kesepuluh : Di berikan oleh Allah SWT sifat penyabar.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “Dan sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikan dirinya penyabar, dan tiada pemberian yang (Allah) berikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas (manfaatnya) daripada kesabaran.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat yang dimuliakan,
Alangkah beruntungnya seseorang mukmin yang memiliki sifat sabar dan dia praktikan kesabarannya tanpa mengeluh dan bersikap negatif . Sentiasa reda dengan ketentuan Allah SWT dan berbaik sangka dengan Allah SWT. Sifat orang fasik dan munafik akan cepat marah dan putus asa dengan rahmat Allah, tidak reda dengan musibah yang menimpa dirinya dan mudah menyalahkan orang lain. Jika kalian berhajat untuk menjadi hamba-hamba Allah SWT yang mendapat reda dan rahmat-Nya maka kalian perlulah sentiasa bersabar, tenang dan berfikiran positif dan meyakini setiap sesuatu perkara itu mengandungi 1000 hikmah kebaikan di sisi Allah SWT.

Menahan Marah Kekuatan Muslim Sejati

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah ukuran kekuatan seseorang itu dengan menewaskan lawan tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang dapat menahan hawa nafsunya ketika marah.”
Huraian Hadith: 
  1. Ukuran kekuatan pada zaman jahiliah ialah kekuatan fizikal, tetapi Islam telah mengubahnya kepada nilai akhlak dan kemasyarakatan yang mulia.
  2. Kita hendaklah menjauhi sifat marah, kerana ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada tubuh badan, jiwa dan masyarakat.
  3. Sifat sabar itu adalah daripada sifat-sifat yang mulia. Oleh itu hendaklah seseorang itu mengamalkan kesabaran.
  4. Sifat pemarah adalah sifat mazmumah yang tidak diredai Allah kerana ia boleh meruntuhkan kebahagiaan hidup seseorang.

# SUMBER DARI JAKIM #


Hikmah Al-Quran: Padam rasa marah dengan kemaafan


 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik.” (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Sifat terpuji yang dimiliki orang bertakwa antaranya ialah kemampuan menguasai diri ketika marah. Marah adalah emosi semula jadi manusia dan ia tidak boleh dikawal oleh seseorang melainkan dengan rasa kesedaran yang halus hasil pancaran takwa dan kekuatan spiritual.

As-Syahid Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zilalil Al-Quran menyatakan, mengawal dan menahan kemarahan hanya satu tangga pertama dan kebolehan mengawalnya saja tidak cukup kerana kadang-kadang seseorang itu menahan kemarahannya untuk menaruh dendam.


Ini bererti kemarahan berkobar-kobar itu berubah kepada dendam yang terpendam. Oleh sebab itu al-Quran menjelaskan bahawa titik pembebasan kemarahan yang terpendam dalam hati orang yang bertakwa ialah memberi kemaafan, bersikap toleransi dan berlapang dada.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah SAW: “Berilah kepada saya satu pesanan. Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu marah. Lelaki itu mengulangi pertanyaan beberapa kali, Rasulullah SAW tetap menjawab: Janganlah kamu marah.” (Riwayat Bukhari)

Kurangkan suhu kemarahan

Justeru, kita perlu menjauhi sebab atau faktor yang boleh menimbulkan kemarahan serta mengurangkan suhu kemarahan dengan mengundang pekerti mulia seperti sifat mahmudah, malu, sabar dan kesediaan memberi kemaafan.
Selain itu, ia juga memberi maksud supaya jangan diikuti rasa marah yang membahang tetapi cuba mengawalnya sedaya upaya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan keji dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya.: (Surah asy-Syura, ayat 37)

Antara pendekatan yang boleh digunakan dalam memadamkan api kemarahan ini ialah melatih jiwa supaya bersikap tolak ansur dan mengisi hati dengan kasih sayang. Mengetahui kelebihan yang ditawarkan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang dapat mengurus kemarahannya dengan baik.

Berlapang dada dan bersikap lembut ketika menghadapi suasana sukar, banyakkan berdiam diri serta berdoa kepada Allah SWT supaya menyelamatkan kita daripada sifat marah. Hendaklah ingat kesan sifat marah mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam oleh orang yang dimarahi.

Membayangkan betapa buruknya rupa sendiri ketika kita sedang marah. Apabila datang marah, banyakkan membawa ta’awwuz kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

Kemarahan adalah satu bebanan yang berat kepada hati apabila dipendamkan. Ia adalah pucuk-pucuk api yang menjilat hati dan nurani. Tetapi apabila kemarahan dikawal dan hati memberi kemaafan, maka itulah titik kebebasan daripada bebanan kemarahan dan pasti tiupan dingin ketenangan akan berada dalam jiwa.

Zahir kemahiran jika sentuh isu agama

Namun, perasaan marah boleh dilahirkan jika ia menyentuh isu kehormatan agama, kezaliman dan penindasan terhadap umat sejagat. Rasulullah SAW sendiri menzahirkan kemarahan jika ia menyentuh hak Allah SWT dan hak sesama manusia.

Rasulullah SAW tidak dapat menyembunyikan kemarahannya apabila kebersihan masjid tidak dipelihara dan dijaga sehingga ada kesan kahak serta hingus dalam masjid sedangkan menjaga kebersihan masjid adalah bentuk kemuliaan masjid.

Satu lagi contoh kemarahan Rasulullah SAW apabila diminta oleh Usamah bin Zaid supaya melepaskan hukuman hudud terhadap seorang wanita yang mencuri. Berubah wajah Rasulullah SAW apabila mendengar permintaan Usamah sambil Baginda bersabda: “Apakah engkau hendak memberi syafaat dalam satu kesalahan hudud dari hudud-hudud Allah?” Maka Usamah berkata: “Mohonlah ampun untuk saya wahai Rasulullah SAW”.

Manakala waktu petang Rasulullah SAW bangun lalu memuji apa yang patut bagi Allah Azza Wa Jalla dan kemudian Baginda bersabda: “Adapun kemudian dari itu, sesungguhnya manusia sebelum kamu binasa tidak lain kecuali hanyalah kerana mereka apabila orang mulia di kalangan mereka mencuri mereka membiarkannya, dan apabila orang yang lemah dikalangan mereka mencuri mereka menegakkan hukuman had ke atasnya.” Kemudian Baginda bersabda: “Demi Allah yang jiwaku dalam tangan-Nya, jika Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku potong tangannya.” (Riwayat An-Nasai, Muslim dan Al-Bukhari)

Apabila membicarakan mengenai marah, janganlah kita menjadi sebab kepada kemarahan dan kemurkaan Allah SWT. Ini penting supaya kita tidak terjebak dengan perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan barang siapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (Surah an-Nisa’, ayat 93)

Ancaman jika membunuh Mukmin

Ancaman keras kepada mereka yang bertindak membunuh sesama Mukmin yang pasti mengundang kemurkaan dan laknat Allah SWT kepada mereka. Kemurkaan Allah juga berlaku kepada sesiapa yang buruk sangka kepada-Nya, tidak yakin peraturan dan hukuman telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan supaya Dia menyeksa orang munafik lelaki dan perempuan dan orang musyrik lelaki dan perempuan, yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk (bahawa Dia akan mengecewakan Rasul-Nya). Atas merekalah tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh peredaran zaman dan (selain itu) Allah murkai mereka dan melaknatkan mereka serta menyediakan untuk mereka Neraka Jahannam; sedang Neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah Al-Fath, ayat 6)

Perbincangan berkenaan sifat marah bukan tertumpu pada emosi marah manusia biasa, tetapi harus dipanjangkan kepada perkara yang dimurkai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW supaya kita dapat membina kehidupan di atas keredaan-Nya.




Older Post | Newer Post